Monday, January 28, 2008

hedonisme

Pendahuluan

“Mahasiswa Agungkan Budaya Barat”, “Budaya Hiburan Melampau Jejas Martabat Pusat Ilmu” adalah antara ratusan topik terkini yang hangat dibincangkan di akhbar Berita Harian. Fokusnya ialah budaya hiburan yang melampau yang memberi kesan kepada nilai murni budaya timur dan nilai Islam.(NSTP E Media 2007) Bermacam-macam lagi tajuk artikel yang membincangkan mengenai penularan pengaruh Barat yang dikaitkan dengan Hedonisme.. Isu yang membimbangkan ini kini semakin hari semakin membarah seolah-olah tiada ubat bagi merawatnya

Oleh itu, pengkajian mengenai isme-isme atau ideologi Barat amat diperlukan bagi membendung isme-isme ini dari terus menjahanamkan umat Islam. Ia perlu dikaji bagi mendapatkan satu resolusi yang jitu dan unggul agar dapat memantapkan keyakinan dan kekuatan umat Islam agar sentiasa terus berpegang dengan prinsip bahawa agama Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi dan mulia daripada agama Islam itu sendiri.

Kertas ini akan cuba menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan “hedonisme” yang berlaku pada hari ini dalam masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Islam Melayu terutamanya. Ia akan meliputi definisi, sejarah, sebab, kesan hedonisme dan cara mengatasinya. Diharap agar kertas ini sedikit sebanyak menyumbang ke arah masyarakat yang ideal.

Definisi

Secara harfiahnya, perkataan hedonisme berasal dari dua perkataan iaitu hedone dan isme. Perkataan hedone berasal dari perkataan Yunani di mana asal istilah ini mula wujud yang membawa maksud kesenangan atau kenikmatan.(Lorens bagus 2000 : 282) Manakala perkataan isme akhiran pada kata nama yang merujuk kepada kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan dan juga sikap serta perlakuan. (Kamus Dewan 2000 : 501)

Merujuk kepada kamus Al-Mughni Al-Akbar ( 1997 : 563) pula istilah hedonisme di dalam bahasa Arab disebut dengan .

Mengikut istilah pula hedonisme beerti pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.(Kamus dewan.2000:448) Menurut Lorens Bagus pula hedonisme ialah konsep moral yang menyamakan kebaikan dengan kesenangan.( Lorens Bagus 2000 : 282) Manakala Mustafa Kamil Ayub menyatakan bahawa hedonisme ialah satu sistem nilai Barat yang menilai kebaikan hanyalah semata-mata keseronokan (pleasure) yang sama dengan nilai moral mereka iaitu kesenangan dan keberuntungan. Objektif utamanya ialah keseronokan.( 1994 : 75-76)

Jika mengikut Ensiklopedia Dunia (2005 : 215) membahagikan maksud hedonisme kepada dua iaitu mengikut falsafah klasik dan falsafah moden. Menurut falsafah klasik, hedonisme membawa pengertian satu kepercayaan bahawa nikmat ialah kebaikan yang tertinggi dalam kehidupan. Pada zaman Yunani purba, kaum Epicuren dan Cyrenaic mengasaskan falsafah kaumnya pada idea bahawa nikmat merupakan kebaikan manusia yang seharusnya mencari nikmat minda bukannya nikmat jasad. Kaum ini memikirkan bahawa orang yang bijaksana akan mengelakkan nikmat yang kemudiannya mungkin mendatangkan kesengsaraan. Dalam falsafah moden pula golongan utilitarian hedonistik yang dipelopori oleh Jeremy Bentham dan J.S. Mill mempercayai bahawa manusia tidak seharusnya mencari nikmat individu sahaja tetapi hendaklah mencari kebaikan yang teragung untuk sebilangan manusia.

Hedonisme ialah ajaran filasafat, yang membawa maksud bahawa tujuan hidup terfungsi adalah kesenangan. Hedonisme kuno diajarkan oleh Aristippus, Demokritus, Epicurus, mengutamakan diri sendiri (egoistic) sedangkan hedonisme moden dari falsafah Inggeris bersifat umum dalam erti sosial kebahagiaan yang terbesar untuk jumlah orang yang terbesar. Tokoh-tokoh moden seperti Hebert Spenser, Leslie Stephen, David Home, Jeremy Bentham, J.S. Mill. Henry Sidgwick, Sir William hamilton.( Ensiklopedia Umum 1973 : 488)

Kesimpulannya, perkataan hedonisme membawa banyak pengertian mengikut perspektif kajian sarjana terdahulu antaranya ialah kenikmatan, kesenangan, keseronokan, keberuntungan dan kebahagiaan tetapi yang jelasnya istilah hedonisme boleh dikatakan sebagai satu perkara yang mendatangkan faedah kepada pengamalnya tanpa perlu memikirkan kesan dan akibat terhadap diri, masyarakat dan negara. Apa yang perlu ialah keseronokan, kesenangan dan kenikmatan.

Latar belakang Hedonisme

Perkataan hedonisme telah mula dipakai semenjak zaman Yunani lagi iaitu zaman yang melahirkan ramai tokoh falsafah yang terkemuka yang banyak mempengaruhi ramai cendekiawan hingga ke hari ini. Boleh dikatakan bahawa istilah hedonisme melalui dua fasa iaitu fasa Yunani iaitu sebelum masihi dan fasa Barat (Renaisans).

Fasa Yunani

Tokoh istilah hedonisme di zaman ini ada ramai tetapi yang dinyatakan di sini hanya yang terkemuka sahaja iaitu
1) Aristotle
Ada tiga pola hidup yang memuat kepuasan dalam dirinya sendiri iaitu hidup yang mencari nikmat, hidup praktis dan hidup sebagai seorang filsuf. Hidup yang mencari nikmat inilah yang disitilahkan sebagai Hedonisme. Hedonisme menurut beliau ialah pencapaian kebahagiaan bukan denga kenyataan tetapi dengan disertai dengan suatu tindakan. Dalam bahasa sekarang ialah manusia mencapai kebahagiaan dengan mengembangkan potensi diri melaui kekuatan-kekuatan yang dimilikinya dan bukan dengan bersikap menerima sahaja. (Franz Magnis 1997 : 31-32)
2) Epikuros
Zaman ini dikatakan sebagai zaman permulaan Hellenisme. Beliau menakrifkan hedonisme dengan pencapaian kenikmatan setelah seseorang berjaya menguasai diri dari melakukan sesuatu yang mendapat kenikmatan tetapi mendatangkan bahaya selepas itu. Contohnya makan banyak akan mendatangkan penyakit. Beliu juga turut digelar dengan hedonisme kasar. (Franz Magnis : 50)
3) Aristippus
Aristippus dikatakan telah menyempitkan erti hedonisme dengan erti kebahagiaan itu dengan pencapaian kenikmatan indera manusia. Mungkin beliau mengemukakan definisi begini kerana bagi melembutkan makna hedonisme yang sebelum itu memerlukan pengorbanan untuk mencapai kenikmatan dan kebahagiaan. (H.Muh. Said : 80)

Fasa Barat atau Renaisans

Istilah hedonisme ini muncul semula pada abad ke 17 setelah Barat mula bangkit dari zaman gelap mereka. Ketika ini ramai cendekiawan Barat yang telah lahir dan pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan dan sains mereka mula berkembang. Perkataan renaisans juga boleh dirujuk kepada kebangkitan semula pembelajaran Romawi dan Yunani di Eropah. Perubahan dari zaman kegelapan telah mengambil masa yang panjang, sungguhpun demikian Renaisans telah memberi lebih peluang begi kebebasan individu dari segi agama, penulisan, kebudayaan serta kesedaran dan pencapaian yang cemerlang dalam sastera dan sains.( Sulaiman Nordin 1997 : 43)

Sebagaimana kebangkitan Barat hasil pemisahan pertentangan terhadap insitusi gereja, begitu juga dengan nilai moral yang mereka miliki. Oleh kerana tidak mempercayai unsur dalaman(rohani), istilah mencapai kebahagiaan (hedonisme) mereka juga menolak ketuhanan atau unsur spiritual dan ia memiliki konsep yang sama dengan Aristippus namun skop pencapaian kebahagiaan Barat lebih besar iaitu untuk sebilangan besar manusia. (H.Muh. Said : 80)

Setelah itu istilah hedonisme terus berkembang mengikut falsafah sekular Barat itu sendiri. Di dalam buku Pendidikan Islam yang telah diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd menyatakan bahawa hedonisme adalah merupakan salah satu konsep moral yang bersifat sekular yang telah muncul di Amerika pada tahun 1876 yang dipelopori oleh Dr. Felix Adler dari Columbia University. Ia bermula apabila Amerika berhadapan dengan resolusi yang dibawa oleh American Ethical Union yang menyatakan ‘kepentingan yang amat penting” ialah faktor etika perlu diasingkan dalam semua hubungan kehidupan peribadi, masyarakat, bangsa, negara dan di peringkat antarabangsa. Golongan moral sekular berpendapat baik atau buruk adalah persoalan yang termasuk dalam konsep falsafah moral yang melahirkan pelbagai aliran falsafah moral sekular di antaranya ialah aliran hedonisme yang membawa fahaman baik dan buruk merujuk kepada pertimbangan nafsu dan naluri. ( Mardzelah Makhsin 2003 : 89-92)

Begitulah kronologi kelahiran hedonisme yang telah melalui pelbagai proses perkembangan mengikut tokoh yang mempeloporinya tetapi yang wujud kini adalah hedonisme yang diadaptasi dari Barat. Lebih membahayakan lagi, Barat bukan sekadar menolak ketuhanan tetapi nilai moral dan etika yang baik juga ditolak bagi mengasingkan terus nilai-nilai spiritual yang berkemungkinan hasil dari dendam mereka terhadap institusi gereja yang pernah mencengkam mereka sebelum ini.

Hedonisme juga mempunyai beberapa pembahagian sebagaimana yang dikatakan oleh A. Mangunhardjana (1997 : 91) iaitu :

1) Bagi golongan ilmuwan, kenikmatan mereka ialah pada perkara intelektual.
2) Bagi golongan sensual (bernafsu), kenikmatan mereka terbatas kepada kenikmatan pancaindera.
3) Bagi golongan yang meminati seni, kenimatan mereka tertumpu pada nilai estetik.
4) Bagi golongan yang mementingkan nilai etika, moral dan religi maka kenikmatan mereka tertumpu pada perkara etika, moral dan religi.

Namun menurut A. Mangunhardjana lagi, istilah hedonisme seringkali terhenti pada penakrifan hedonisme sebagai kenikmatan sensual yang lebih mudah difahami dan lebih didekati yang menjadi tumpuan perbincangan ini.

Faktor-faktor Penularan Hedonisme

Ismail Ibrahim pernah membincangkan bahawa timbul pelbagai cabaran dan masalah dala merealisasikan wawasan 2020. Masalah dan cabaran yang timbul ini terlalu sukar untuk dibendung dan seolah-olah tidak terbendung kerana terlalu cepat, pantas dan ruang lingkup yang besar untuk diatasi. Dua perkara yang dinyatakan oleh beliau mampu menggugat moral dan etika yang ingin dipupuk bagi mencapai wawasan 2020 iaitu kebendaan dan seks begitu mudah meresap ke dalam jiwa masyarakat kini. (1996 : 87-89)

Secara tidak langsung dapat diketahui bahawa masyarakat kini sudah mula menunjukkan mereka kini sedang dipengaruhi oleh budaya Barat Faktor-faktor tersebut seperti berikut :

1) Penjajahan
Alwi Haji Abdullah menjelaskan bahawa sewaktu penjajahan berlaku dasar budaya Barat dilaksanakan berselindung disebalik istilah ‘pemodenan’, kemajuan dan pembangunan. Disebalik istilah inilah Barat berselindung untuk menyebarkan nilai-nilai kehidupan, pemikiran, pendidikan, kemahiran teknologi dan sejarah Barat. Proses “pemodenan” atau “pengeropahan” inilah yang mengekalkan kesinambungan cengkaman pengaruh Barat. Dalam merealisasikan penjajahan budaya ini, nilai-nilai tamadun Barat dijadikan ukuran sejagat ke atas tanah jajahan dan dalam masa yang sama turut berlaku pemaksaan idea, ideologi, nilai, pegangan amalan dan gaya hidup Barat. Tidak hairanlah jika sebuah negara bekas jajahan Barat mengamalkan apa yang ditinggalkan oleh penjajah mereka. ( 2005 : 76)

Penjajahan menurut Zakaria Stapa ialah penjajahan pemikiran dan gaya hidup pasca moden. Ini bermakna faham, pemikiran dan gaya hidup pasca moden satu bentuk ancaman yang besar kepada umat Islam. Unsur-unsur sekularisme disebarkan dalam berbentuk kecanggihan, kehebatan teknologi maklumat, komputer, teknologi telekomunikasi dan satelit. Ini adalah kerana semua teknologi tersebut diberi nafas oleh Barat.yang secara asasinya tidak selari dengan roh dan semangat tamadun Islam, maka kemudahan dan manfaat yang dibawa oleh teknologi tersebut membawa juga bersama ancaman kepada pegangan akidah dan penghayatan akhlak umat Islam. Hasilnya, masyarakat Islam menganggap budaya hedonistik sebagai satu perkara yang sudah menjadi adat dalam kehidupan mereka dan dari sini muncullah gejala-gejala negatif sebagaimana yang sering tersiar melalui dada-dada akhbar mahupun penulisan yang berkaitan dengan gejala ini ( 1999 : 137-148)

2) Globalisasi
Globalisasi menyebabkan dunia menjadi semakin mengecil dan masyarakatnya menjadi saling bergantungan. Apa yang berlaku di satu rantau mempunyai kesan di rantau lain. (Mohd Yusof 1996 :1) Ia juga boleh ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan, perkampungan dunia dan langit terbuka. Faktor berlakunya globalisasi ialah ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang tinggi dan canggih. Globalisasi boleh meninggalkan kesan terhadap pemikiran dan gaya hidup. Globalisasi membolehkan pemindahan nilai dan cara berfikir serta cara bertindak dari satu daerah ke satu daerah dunia yang lain. Barat menggunakannya untuk memindahkan nilai mereka dalam bidang falsafah, pemikiran, ekonomi kapitalis dan kebudayaan hedonisme (pegangan hidup mementingkan keseronokan) secara serentak. (Pusat Dakwah Islamiah Brunei 2005 : 40-42)

3) Media massa.
Banyak penulisan sebelum ini yang membicarakan mengenai peranan media massa dalam menyebarkan fahaman atau apa sahaja. Banyak kajian dan penulisan yang menunjukkan bahawa media massa sebagai wasilah hedonisme .

Mustaffa Kamil Ayub telah menyatakan bahawa media massa mampu melakukan perkara yang sukar dilakukan oleh manusia. Ia boleh menemui, bersemuka dan berkomunikasi tanpa had dengan pelbagai bangsa. Apa yang berlaku di media massa biasanya mempengaruhi penontonnya lebih-lebih lagi jika sesuai dengan kehendak nafsu dan tidak ada kawalan. Kemajuan teknologi media massa dalam beberapa hal akibat daripada kurangnya kawalan juga boleh membawa ke arah kerendahan budi dan adab. Akibatnya berlaku pembocoran budaya yang kurang sihat berlaku secara meluas dalam media massa di Malaysia. Atas alasan ingin tahu, mahu up to date dan darah muda para belia, pelajar apatah lagi yang kurang didikan agama memudahkan bertambahnya kes-kes keruntuhan akhlak.(1994 : 84)

Unsur-unsur yang dipaparkan juga kebanyakannya berunsur hedonistik atau nilai gaya kebendaan yang boleh menarik perhatian orang ramai agar ia sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat. (Syed Mahadzir 2000 : 20 )

Oleh itu, media massa telah membawa suatu budaya baru dalam masyarakat terutamanya kepada generasi muda. Budaya ini diolah daripada media yang saban hari mengambil tempat ibu bapa sebagai satu tempelan kepada pembetukan peribadi. ( Ummu Yusof 2000 : 13 )

4) Hiburan
Manusia suka kepada berhibur bagi menenangkan fikiran dan menghilangkan tekanan. Ledakan hedonisme melalui hiburan yang paling besar di negara ini ialah apabila bermulanya program hiburan berbentuk realiti seperti Akademi Fantasia. Hafiz Hamzah mengatakan program realiti TV, Akademi Fantasia (AF) benar-benar meledakkan pangaruh yang luar biasa di kalangan penonton rancangan televisyen tanah air. Kemunculan Akademi Fantasia buat pertama kalinya di siaran Astro pantas menjadi tajuk perbualan orang ramai tidak kira tua atau muda. ( 2004 : 8-9) Jelasnya hiburan memang cukup sinonim dengan sanubari yang menginginkan keseronokan dan kegembiraan lebih-lebih lagi hiburan itu adalah hiburan yang serasi dengan jiwa kebiasaanya remaja yang sedang mencari identiti mereka. hiburan dan hedonisme memang berkait rapat.

Keempat-empat faktor tersebut merupakan pemangkin gejala hedonisme yang terbesar di dunia umat Islam kini namun ia sebenarnya bukanlah menjadi masalah bagi dunia Barat yang memang sudah sebati dengan nilai tersebut.

Akibat Hedonisme

Hedonisme merupakan satu ancaman yang bahaya yang menyerang umat Islam dari segi gaya hidup. Jika Muhammad Uthman (1977 :255) mengatakan ideologi sekularisme menggunakan medium pendidikan Barat sebagai faktor penyebarannya, maka hedonisme dapat dilihat melalui begitu menonjol sekali melalui hiburan. Hedonisme meninggalkan kesan ke atas umat Islam di dalam dua perkara yang dianggap teras agama Islam yang sepatutnya boleh bertindak sebagai pelindung umat Islam iaitu :

1. Akidah
Akidah merupakan perkara tunjang kepada seseorang muslim. Akidah yang mantap merupakan sumber kekuatan bagi seseorang muslim dalam melakukan kegiatan dan melahirkan semangat berjuang yang tinggi. ( al-Ghazali 2001 : 185) Ia boleh diiBaratkan sebagai akar tunjang yang menjunam jaum ke dalam tanah bagi mengekalkan sebatang pokok sentiasa tegak berdiri. Tanpa akidah, akan rosaklah nilai iman seseorang. Istilah hedonisme berintikan sekularisme memang memencilkan soal akidah kerana jika wujud akidah ia tidak dapat berkembang dengan bebasnya. Dalam hal ini, apabila seseorang mengamalkan ideologi ini diBaratkan sebagai menolak ketauhidan dan sudah pastilah akidah sebagai galang gantinya.



2. Akhlak
Akhlak iBarat pakaian seseorang dan tanpa akhlak seseorang diiBaratkan tanpa pakaian. Akhlak merujuk kepada sikap seseorang tentang perhubungannya dengan Tuhan, sesama manusia, alam sekitar dan haiwan. Orang yang baik akhlaknya, baik hubungan denga Tuhan, manusia, haiwan dan alam sekitar dan sebaliknya.( Mohd Yusof Ahmad 2003 : 136) Akhlak dalam Islam meliputi keseluruhan aspek kehidupan seseorang muslim yang telah ditentukan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Hedonisme ialah salah satu sistem moral dalam masyarakat Barat yang meletakkan pengukuran keseronokan sebagai ukuran bagi semua pekerjaan yang dilakukan dan sudah pastilah seronok itu dalam perkara-perkara yang berkait dengan nafsu. Apabila nafsu tanpa kawalan akal, maka hancurlah akhlak.

Dua tunjang uatam dalam Islam ini sepatutnya bertindak menjadi senjata yang paling ampuh dalam melawan ideologi Barat ini. Jika ia rosak, sememangnya tidak patut dihairankan mengapa umat Islam boleh menjadi rosak juga.
.
Islam sebagai ubat

Setiap penyakit pasti ada ubatnya melainkan sakit tua dan mati, cuma masa yang diambil untuk menyembuhkan sesuatu penyakit mungkin mengambil masa berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Demikian juga dengan penyakit mementingkan nafsu yang memerlukan pencegahan dan rawatan yang begitu rapi dan teliti kerana jika tidak dibendung dan dikawal akan menghilangkan jati diri sebagai umat Islam. Islam itu sendiri adalah sebagai ubat bagi menghadapi gejala-gejala hedonisme dan berikut adalah aspek dalam Islam yang boleh berfungsi sebagai pengawal dan pencegah hedonisme buatan Barat ini :

1) Dakwah
Dakwah bertujuan mendekatkan diri manusia kepada pencipta alam ini. Jika seseorang itu bukan Islam maka dakwah bertujuan memperkenalkannya kepada Islam sebagai jalan mengenal Allah dan jika sudah pun Islam maka dakwah bertujuan meperkuatkan lagi penghayatan keislamannya. Dakwah kini perlu disebarkan melalui skop yang besar sejajar dengan skop globalisasi. Ruang-ruang yang yang tidak bersifat ketuhanan perlu segera diisi dengan roh Islamiah agar dapat mengatasi masalah akidah dan akhlak manusia sebagaimana menurut Muhammad Uthman (1977 : 265) perlaksanaan tugas dakwah islamiah dengan syarat-syarat dan aturan yang baik dan tepat sebagaimana yang ada dalam ajaran rohaniah Islam perlu dijalankan. Hal yang demikian adalah kerana di dalam dakwah penuh dengan nasihat, pesanan keagamaan, dan bersifat sosial serta teladan yang mengajak masyarakat menghindari diri dari hal yang negatif kepada hal yang positif. Ia semakin signifikan apabila dakwah dapat dilakukan secara profesional merangkumi semua lapisan masyarakat sekaligus menyentuh aspek fikiran dan rohani mad’u. Keprofesionalan pendakwah perlu kerana masyarakat semakin bijak menilai tetapi dalam masa yang sama mereka menghadapi kemelut dalaman yang meruncing. (J. Suyuthi Pulungan 2002 : 65-66)
2) Konsep bersederhana
Sebenarnya Islam telah meletak garis panduan yang ideal kepada umatnya agar dapat menjaga kemaslahatan ummah. Lakukanlah apa jua pekerjaan dan perkara tetapi harus beringat supaya tidak melampaui batas kerana agama Islam adalah agama yang menyuruh umatnya bersederhana sebagaimana firman Allah S.W.T. (2 : 143)
Maksudnya :
“Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ummat yang adil dan pilihan , agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia”

3) Ilmu Pengetahuan
Menuntut ilmu memang diwajibkan oleh Islam ke atas umatnya. Umat Islam mestilah mengenal pasti secara total segala permainan pemikiran dan cara-cara mengatasinya mengikut panduan ulamak. (Abdullah Nasih Ulwan 2003 : 99) Tanpa ilmu pengetahuan, satu bangsa pun tidak akan maju dan boleh membina tamadunnya sendiri. Ilmu pengatahuan akan mengelakkan umat Islam dari terpengaruh ke dalam unsur-unsur sekularisme tidak kira dari apa jua bentuknya.

4) Malu
Rasa malu adalah adalah unsur yang positif dalam tabiat manusia. Rasa malu mengungkapkan nilai nilai keimanan seseorang dan menunjukkan tingkat peradabannya. (Al-Ghazali 2001 : 303) Sebagaimana hadis yang menyarankan agar umat Islam bersifat malu. Malu di sini bermaksud malu mengerjakan kejahatan dan segala perbuatan yang hina atau malu kerana ketinggalan dalam melakukan kebaikan dan kemuliaan. Malu seperti ini akan menjaga manusia dari kejahatan dan membawa kepada keselamatan dan kemajuan.

Penutup

Aliran pemikiran yang didalangi oleh Barat biasanya mempunyai agenda yang tersendiri yang pada kebiasaannya bertujuan melemah, merosak dan menghancurkan umat Islam. Justeru itu, masyarakat Islam mahupun bukan Islam yang ada kini perlu diadakan sesuatu bentuk perlindungan yang mantap bagi memelihara kesucian fitrah mereka agar sejajar dengan tuntutan masyarakat yang berakhlak dan paling penting selari dengan kehendak Islam. Pendekatan demi pendekatan perlu dilakukan saban hari bagi melindungi manusia dari terjerumus ke lembah nafsu kebinatangan yang pada realitinya perkara ini ditentang oleh semua golongan yang masih berpegang kepada nilai kebaikan dan kesopanan. Individu, masyarakat dan negara yang boleh mengawal sebarang ideologi yang negatif akan terhindar daripada masalah seperti yang semakin membarah kini.

Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak memilih, mengguna dan mengubahsuai sesuatu produk agar tidak menimbulkan masalah dikemudia hari dan lebih baik lagi jika kita yang menjadi cermin produk Islam yang sememangnya sudah ada dalam Islam cuma perlu digilap kembali agar ia kembali bersinar.



Rujukan

Al-Quran al-Karim

A. Magunhardjana. 1997. Isme-Isme A Sampai Z. Yogjakarta : Kanisius.

Al-Ghazali. 2001. Akhlak Seorang Muslim. Ter. Abu Laila & Muhammad Tohir. Kuala Lumpur : Victory Agencie

Alwi Abdullah. 2005. Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialism dan Sejarah Alam Melayu. Kuala Lumpur : Darul Fikir SDN. BHD.

Ensiklopedia Dunia. 2005. jil 8. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka

Ensiklopedia Umum. 1973. Yogjakarta : Jajasan Kanisius

Franz Magnis Suseno. 1997. 13 Tokoh Etika. Yogjakarta : Kanisius.

H. Muhd Said. 1980. Etik Masyarakat Indonesia. Jakarta : Pradnya Paramita.

Hafiz Hamzah. 2004. Akademi Fantasia Khayalan Melayu Baru. Al-Islam. September : 369

Ismail Ibrahim. 1996. Isu Akhlak : Tanggungjawab Bersama. Dlm. Siti Fatimah Abdul Rahman(pnyt). Membangun Fitrah Kehidupan, hlm 87. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM)

J. Suyuthi Pulungan. 2002. Universalisme Islam. Jakarta : Moyo Segoro Agung

Kamus Dewan . 2002. Ed. ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Lorens Bagus. 2000. Kamus Filsafat. Jakarta : PT Gramedia Pustaka Utama.

Mardzelah Makhsin. 2003. Pendidikan Islam. Bentong : PTS Publications & Distributors SDN. BHD.

Mohd Yusof Ahmad. 2003. Pengajian Islam.Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Mohd Yusof Hussain 1996. Gobalisasi media massa dan teknologi maklumat : Cabaran para pendakwah. Kertas Kerja Ijtima’ Ulama SeMalaysia Kali Ke-8. Kota Bharu, Kelantan, 26 Oktober.

Muhammad Uthman. 1977. Memahami Islam Insan, Ilmu dan Kebudayaan. Kota Bharu : Pustaka Aman Press SDN. BHD.

Mustafa Kamil Ayub. 1994. Menangani Cabaran Membina Kecemerlangan Tamadun Ummah. Petaling Jaya : Budaya Ilmu SDN. BHD
NSTP E Media. 2007. News Archieve(1991) Search Results List (atas talian) www.berita harian. ( 2 Februari 2007)

Pusat Da’wah Islamiah. 2005. Membina Umat Mandiri. Cetakan Pertama. Brunei Kementerian Hal Ehwal Ugama

Syed Mahadzir Syed Ibrahim. 2000. Sikap Masyarakat dalam Menghadapi Karenah Remaja. Dakwah. Jun : 274

Sulaiman Nordin 1997. Sejarah Pemikiran! Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi, dan Order Baru Dunia. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia

Ulwan, Abdullah Nasih. 2003. Generasi Muda Islam & Cabaran Globalisasi. Ter. Hasnan Kasan. Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Ummu Yusof. 2000. Pengaruh Media dan Budaya Gengsterisme. Dakwah. November : 276

Zakaria Stapa. 1999. Pendidikan Islam dan Ancaman Masa Kini. Pemikir. Julai- September.

sirajam munira

kehadapan pembaca yang dirahmati

hidup ini penuh berliku

hadapilah ia dengan ketabahan dan kesabran